Monday, October 3, 2011

Kepentingan faham dalam perjuangan Islam


Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadhrat Ilahi, selawat dan salam buat Rasul junjungan, ahli keluarga Baginda, para sahabat, tabi’ tabi’n dan seluruh para pejuang Islam sepanjang zaman.

Sesungguhnya manusia sebelum kedatangan Islam, ibarat mayat yang tidak bernyawa dan tiada mempunyai roh. Lalu Allah mengurniakan kepada kita kehidupan yang terbaik, aman dan tenteram. Menjadi umat teristimewa yang diutuskan kepada manusia, untuk menegah perkara yang mungkar dan menyeru kepada kebaikan. Justeru, sesiapa yang ingin meragut Agama dari umat ini ibarat ingin menanggalkan roh dari jasadnya agar ia terus mati tidak bernyawa. Tugas mengembalikan semula syahsiah Islamiyyah yang telah lenyap dari umat ini ialah dengan mengembalikan semula roh Islam agar ia kembali bersemadi ke dalam jasad umat ini.

Terdapat pelbagai macam doktrin dan idealogi yang semakin bercambah dari hari ke hari untuk menyesatkan umat ini sama ada dulu mahupun sekarang. Ini semua tidak mengejutkan kita kerana sememangnya musuh Islam itu banyak di setiap masa dan tempat. Jadi, kita perlu bersatu pada apa yang kita sepakati bersama dan bertolak ansur terhadap sebarang perselisihan antara umat Islam, di samping sentiasa berwaspada terhadap semua perancangan dan tipu daya musuh Islam.

Doktrin dan idealogi sesat tersebut seperti, zionisme, komunisme, gerakan kristianisasi, orientalisme, penjajahan dan bermacam aliran serta gerakan lagi yang ingin menggoncang akidah umat Islam, untuk mencapai matlamat mereka menghapuskan Agama ini di muka bumi.

Dalam aneka macam kekalutan dan kebobrokan pemikiran ini, pelbagai salah faham terhadap agama Islam, terdapatnya manusia yang mengambil sejuzuk dari agama Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain, memisahkan antara akidah dan syariah, para sufi yang terpesong dari pemikiran dan ajaran Islam yang sejahtera, dengan kehendak Allah muncul seorang tokoh agung yang mampu untuk merawat segala kepincangan ini dan membawa sinar menerangi kegelapan ini, iaitu Imam Hasan Al-Banna yang menyeru manusia agar kembali beriman kepada Allah Subhanahu wa ta‘ala dan kembali kepada manhaj Rasul dan para salaf umat ini.. Dakwah dan gerakan pemulihan beliau berkisar pada paksi:

1- Membebaskan akidah dari segala kejumudan yang merangkumi pelbagai syubhat, sangkaan kosong dan membetulkan semula tasawwur kehidupan.
2- Menyelamatkan pemikiran umat dari memfokuskan kepada sejuzuk urusan Agama ini, yang menyebabkan kita hanya menggembar-gemburkan sebahagian dari urusan Agama dan mengabaikan juzuk-juzuk yang lain dan kesyumulannya.
3- Merungkai kejumudan yang membelenggu pemikiran umat Islam, memecahkan tembok taklid dan membuka semula pintu ijtihad agar membolehkan para ulama’ mencari formula baru untuk menyelesaikan pelbagai masalah semasa dan mendatang yang sentiasa melingkari kehidupan umat ini.

Dengan kurnia Allah Imam Al-Banna telah menjelaskan semua perkara ini di dalam risalah beliau yang dinamakan ‘Risalah Ta’alim’, yang padat dan amat bermakna, dengan penjelasannya yang terang dan nyata, tanpa sebarang kekeliruan dan kesamaran.

------------------------------------------------------------

Struktur asas bai'ah terdiri daripada 10 rukun yang yang sabit dengan nas , hadis Rasulullah saw , ucapan – ucapan para sahabat ra dan dijelaskan secara mendalam melalui Asy – Syahid Al – Imam Hassan Al – Banna , dipaparkan melalui gerakan Ikhwanul Muslimin serta para pendokongnya .

Rukun pertama yang mesti difahami secara lumat oleh para pekerja agama Allah adalah Al–Fahmu.

Ta’rif : Kefahaman Islam yang jelas dan sahih dari segenap segi termasuk gerak kerja dalaman dan luaran , prinsip – prinsip asas Islam dalam perjuangan , strategi , operasi dan sebagainya .

Penjelasan rukun al-Fahmu ini sabit melalui nas dan hadis , dan dijelaskan secara mendalam melalalui UsUL 20.

-------------------------------------------------------------

TAJUK-TAJUK USUL 20

1. Islam adalah agama yang menyeluruh dan lengkap.

2. Al-Quran dan As-Sunnah adalah rujukan asas dalam perundangan Islam.

3. Iman sejati, ibadah yang sah dan perjuangan mempunyai cahaya dan kemanisan di dalam hati. Ilham, lintasan hati, mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum Agama.

4. Tangkal, jampi selain ayat Al-Quran dan Hadis serta mendakwa tahu hal ghaib (yang belum berlaku) adalah munkar yang wajib dibenteras.

5. Keputusan pimpinan dalam organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahat, yang tiada nas atau ada nas tetapi mempunyai berbagai tafsiran.

6. Kata-kata seseorang selain Rasulullah saw tidak semestinya betul dan diterima.

7. Seorang yang belum pakar dalam Feqah, ikutlah salah satu dari 4 Mazhab tanpa taksub. Terimalah pandangan mazhab lain jika dalilnya lebih kuat.

8. Perbezaan dalam Feqah jangan membawa kepada perpecahan hati.

9. Jauhi perdebatan Feqah yang tidak membawa kepada tindakan amali.

10. Kita beriman kepada Ayat-ayat Sifat tanpa menafsir atau menolaknya.

11. Semua Bid’ah yang tiada asas Syarak adalah munkar yang wajib dibenteras.

12.Bid’ah Idafiah, Bid’ah Tarkiah, Bid’ah Iltizamiah adalah khilaf ulamak.

13. Keramat boleh berlaku pada Wali-wali Allah, namun mereka tidak boleh memberi menfaat atau mudharat kepada diri mereka, apatah lagi kepada orang lain.

14.Ziarah kubur adalah sunnah Rasulullah saw. Jangan dicampur dengan Bid’ah.

15. Tawassul dalam berdoa adalah khilaf ulamak dan bukan dalam masalah Aqidah.

16.Dalam mengeluarkan hukum, Syarak merujuk kepada intipati sesuatu perkara dan bukan nama yang dipakai orang ramai. Contoh “Faedah Bank”.

17. Amal hati lebih utama dari amal anggota. Kedua-duanya penting.

18.Islam mengangkat peranan akal manusia.

19.Tiada pertembungan diantara Syarak dan ilmu Sains yang sahih.

20.Kita tidak mengkafirkan orang Islam melainkan dengan syarat-syarat yang ketat.

---------------------------------------------------------

KESIMPULAN

Faham adalah rukun baiah yang pertama yang telah dijelaskan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam karangannya Risalah Ta'alim khusus buat para pendokong perjuangan Islam yang suci ini.Fahamilah dengan sebaiknya dan terjemahkanlah segala kefahaman kalian dalam bentuk amal(perbuatan)agar seiring dalam gerak kerja dakwah juga didasari dengan bimbingan ilmu dan bukanlah dorongan semangat dan lonjakan emosi semata-mata.

Ingatlah wahai penolong agama Allah sekalian,medan khayalan sama sekali tidak sama dengan medan kata-kata. Medan kata-kata pula tidak sama dengan medan amal dan tindakan. Medan amal pula tidak sama dengan medan jihad. Medan jihad yang salah tidak sama dengan medan jihad yang sebenar yang menuju tepat matlamat yang dikehendaki Allah dan ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah saw.

WaLlahu'alam.

No comments:

Post a Comment