Wednesday, January 26, 2011

Lagenda cinta Khadijah R.A



MUQADDIMAH

Haruman 'Riwayat Bidadari Syurga' membangkitkan rasa insaf dan kagum pada keagungan Kudrat Maha Pencipta.Subhanallah...Dalam kelembutan hati,ada ketegasan yang tidak bisa digugah.Dalam kehalusan jemari,tergenggam utuh janji abdi pada yang Esa.Dalam malu,ada suara tegar mereka mampu menggegar dunia.

Siapakah yang dapat menandingi kehebatan mereka?Para hamba yang akhirnya menjadi bidadari syurga.Sungguh tanpa diminta,riwayat mereka melintasi ruang zaman dengan megah tiada tandingan.Menyampaikan mesej,harum mawar bukan sekadar untuk dicium,indah kelopaknya bukan sekadar untuk dikagumi tetapi durinya mampu mencarik hati yang musyrik,memberi iktibar tanpa rasa gentar.

Ingin saya bawa pada kali ini kisah ringkas mengenai salah seorang srikandi Islam yang amat dikagumi oleh seluruh wanita yang menghayati hikayat hidup beliau r.a.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

SRIKANDI KHADIJAH BT KHUWAILID.

Itulah Khadijah r.a. Salah satu nikmat terbesar yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada Muhamad saw sebelum baginda menjadi Rasul.Walau dihimpunkan seluruh cinta wanita di dunia ini,belum tentu dapat mengatasi lagenda cinta Khadijah terhadap Baginda Muhammad SAW.

Khadijah bt Khuwailid adalah seorang wanita yang kaya dan berasal dari golongan terhormat di Makkah.Beliau adalah seorang wanita cantik dan terkenal dengan sifatnya yang cekap dan tegas.Beliau dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah iaitu 15 tahun sebelum tahun gajah.Walaupun beliau hanya seorang wanita namun beliau mampu berdikari.Ramai golongan terhormat di Makkah ingin melamarnya.Namun hatinya tidak sedikitpun ingin menerimanya.Tetapi apabila bersua muka dengan Baginda SAW,beliau mula merasakan kenikmatan cinta.Sungguh beliau tertarik dengan perwatakan Baginda SAW.

Ada riwayat yang mengatakan Nabi Muhammad SAW ketika itu merupakan pekerja dagangan beliau.Kejujuran,ketaatan dan ketinggian budi pekerti Muhammad SAW sepanjang menguruskan perniagaannya telah memikat hati Khadijah r.a.

Satu hari,Khadijah ra telah mengutuskan salah seorang pembantunya untuk turut sama menyertai rombongan kafilah Muhammad SAW berdagang ke Syam.Apabila pulang dari Syam,tanpa berlengah pembantunya itu menceritakan semua cerita-cerita terpuji mengenai Baginda yang disaksikannya sendiri ketika berdagang bersama.Akhlaknya yang indah,kecerdikan dan kecekapan Baginda serta perwatakannya yang lemah lembut itu telah menghasilkan keuntungan yang cukup lumayan buat Khadijah.

Apabila Muhammad SAW sampai sahaja di rumahnya,Khadijah r.a telah menyambutnya dengan penuh riang gembira dan penuh kesopanan.Bukan kerana Muhammad SAW telah membawa keuntungan yang besar kepadanya tetapi ia adalah penzahiran rasa cintanya yang tersembunyi kepada Baginda.

Khadijah r.a semakin merasakan cinta yang mendalam terhadap Baginda.Walaubagaimanapun,dia masih ragu-ragu.Malah hatinya tertanya-tanya,apakah Muhammad SAW yang baru berusia dua puluh lima tahun itu sudi menerima dirinya yang berusia empat puluh tahun itu sebagai teman hidup?.Namun rupa-rupanya,jarak usia yang jauh itu bukanlah penghalang penyatuan cinta sejati.

Apabila hasratnya terhadap Muhammad SAW itu disampaikan oleh Nafisah bt Munyah,Baginda pun bersetuju lalu mereka berkahwin.Bapa saudara Muhammad SAW iaitu Abu Talib melakukan adat peminangan dan majlis perkahwinan itu telah diraikan dengan begitu meriah.

Bermulalah kehidupan Baginda dan Khadijah sebagai pasangan suami isteri.Selama 25tahun membina mahligai bersama SAW,Baginda tidak pernah lalai menjalankan tanggungjawab,penguruskan rumahtangga.Beliau juga tidak pernah mempunyai madu semasa hayatnya.Kehidupan bersama Baginda tambah berseri dengan kehadiran cahaya mata yang menhiburkankan hati mereka.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
BUKTI CINTA SEJATI KEPADA ALLAH DAN RASULNYA

Khadijah r.a adalah orang yang paling awal memeluk agama Islam.Ketika suaminya menerima wahyu yang pertama di Gua Hira',Baginda pulang ke rumah dalam keadaan menggigil.Suara seakan-akan hilang ketika memberitahu peristiwa yang baru sahaja berlaku.Khadijah pada waktu itu terus memeluk suami yang dicintai itu dengan penuh kasih sayang dan menenangkan Baginda.Lantas berkata,"Demi jiwa Khadijah yang ada di dalam genggamanNya,Aku berharap engkau wahai Rasulullah akan menjadi Nabi ummat ini!!".Mendengar kata-kata Khadijah itu,barulah Baginda merasa tenang dan yakin semula.

Semenjak itu,bermulalah kehidupan baru bagi mereka.Khadijah r.a menjadi muslimah pertama di sisi Rasulnya dan sentiasa bersama Baginda untuk menyebarkan dakwah.Beliau sentiasa membantu setiap tindak tanduk Rasulullah SAW dengan penuh kesabaran dan ketabahan.Setiap pahit dan getir diharungi bersama.Sewaktu kaum muslimin dipulaukan dan diusir oleh kaum quraisy,beliau sanggup meninggalkan rumahnya untuk bersama-sama Baginda.Khadijah r.a terus berkorban sehingga bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abu Thalib meninggal dunia.

Belum sempat kepiluan Baginda terhadap pemergian Abu Thalib reda,Baginda ditimpa pula dengan satu lagi peristiwa sedih.Khadijah r.a jatuh sakit.Beliau tidak dapat bergerak dan terus terlantar di atas katilnya.Keadaannya nazak.Sepanjang sakit,Rasulullah SAW tidak pernah membiarkan Khadijah keseorangan.Baginda tetap berada di sisinya,mengatur segala keperluannya dan menggembirakan hatinya sehinggalah Khadijah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam pelukan suami yang dicintai itu.Beliau meninggal dunia hanya selepas tiga hari beliau jatuh sakit.

Segala pengorbanan ikhlas yang dilakukan untuk suaminya adalah semata-mata untuk mencari keredhaan ALLAH SWT.Sehinggakan ALLAH SWT pernah menyampaikan salam khusus untuk Khadijah r.a melalui perantaraan Jibril a.s kepada Rasulullah SAW disertai khabar gembira.

"Aku telah menyediakn rumah untuknya di syurga dan tiada kesusahan atau kepayahan Baginda."

Rasullullah SAW tidak pernah melupakan pengorbanan Khadijah r.a. Baginda sentiasa menyebut-nyebut kebaikan dan pengorbanan Khadijah r.a walaupun beliau telah lama pergi meninggalkannya.Baginda sentiasa mengingati Khadijah r.a sehingga isteri-isteri baginda yang lain merasa cemburu terhadapnya walaupun beliau telah lama wafat.Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:"Demi ALLAH,tidak ada ganti yang lebih baik dari dirinya yang beriman kepadaku di saat semua orang ingkar,yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan,yang mengorbankan semua hartanya di saat semua berusaha untuk mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapatkan keturunan."

Sebagai isteri kepada Rasulullah,Khadijah telah memainkan peranannya sebagai pendorong utama kepada Rasulullah dalam menyampaikan risalah ALLAH SWT.Beliau telah banyak menderita pada awal penyebaran Islam.Banyak perkara yang dilakukannya hanya untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh suaminya.

Pernah suatu hari,ketika Baginda pulang semula ke kampung halamannya,selepas Baginda dapat menawan semula kota Makkah.Baginda telah dipelawa oleh penduduk Makkah untuk menginap di rumah-rumah mereka.Namun,Baginda menolak dengan baik dan mencadangkan agar dibina sebuah khemah berhampiram kubur isterinya Khadijah r.a.Baginda menyeru:"Dirikanlah bagiku di muka kubur Khadijah."

Begitulah dalamnya cinta Baginda terhadap isterinya Khadijah walaupun isteri-isterinya yang lain turut sama dicintai,namun tidak setanding penganugerahan yang diberikan kepada Khadijah r.a. Beliau adalah lambang kewujudan terawal kewujudan Islam yang menjadi tulang belakang kepada penyebaran Islam hingga dapat dikecapi sehingga ke hari ini.Bersamanya juga Baginda SAW dapat merealisasikan agama Islam yang suci ini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kesimpulan:

Pengorbanan Khadijah r.a bukan sekadar satu bukti cinta terhadap suaminya Baginda Sallallahualaihi Wassalam semata-mata,malah ianya adalah satu manifestasi ketaqwaan beliau kepada ALLAH SWT dan layak menjadi lagenda cinta terhebat bagi sesiapa yang dapat menghayati dan menilai dengan mata hati.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

"Wahai para Bidadari Syurga...
Mendengar hikayat kalian membuatkan kami tertanya-tanya..
Mampukah kami menjadi seperti kalian?
Layakkah kami berdiri di sisi kalian?
Sedangkan sejarah kami tak setanding sejarah agung kalian..
Pengorbanan kami tak tersaing perjuangan kalian..
Malah yang amat menyedihkan..
Penghambaan kami tak sehebat pengabdian kalian...."

Wallahu'alam.

1 comment: